Sunday, June 21, 2009

for newspaper today - utusan 22nd june 2009

Masa rehat penting elak tekanan mental

KUALA LUMPUR 21 Jun - Rakyat Malaysia disaran memperuntukkan sedikit masa dalam sehari untuk berehat bagi mengelakkan daripada mengalami tekanan dalam diri sehingga boleh mengakibatkan sakit mental.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin (gambar) berkata, setiap masyarakat perlu tahu bahawa kekurangan masa berehat antara punca seseorang itu mengalami tekanan mental.

Orang ramai, jelasnya, tidak boleh membiarkan tekanan terhadap perkara tertentu menghantui diri dalam tempoh yang panjang kerana ia faktor utama menyebabkan fikiran menjadi sedikit terganggu.

"Masyarakat sebenarnya perlu mengimbangi masa rehat dengan masa bekerja.

"Kita hanya manusia, dan manusia memerlukan had dalam setiap perkara yang dilakukan. Tetapi zaman sekarang manusia dikawal sepenuhnya oleh bebanan dan tekanan pekerjaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Anti Denggi anjuran Reckitt Benckiser (M) Sdn. Bhd. dan GCH Retail (M) Sdn. Bhd. di sini, semalam.

Beliau mengulas jumlah pesakit mental di negara yang terus meningkat 400,227 kes pada tahun lalu berbanding 346,196 kes tahun sebelumnya.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, lebih membimbangkan, jumlah kes bunuh diri turut meningkat dari tahun ke tahun ekoran ia berkait dengan penambahan pesakit mental.

Rosnah berkata, selain masa rehat yang diperlukan oleh orang ramai, makanan seimbang juga faktor penting untuk menangani tekanan dalam diri.

Sehubungan itu, menurutnya, kerajaan sering menasihati masyarakat supaya mengamalkan gaya hidup yang sihat supaya bebas daripada masalah tekanan dalam hidup.

"Mulai saat ini, orang ramai perlu mendidik diri dan keluarga untuk meluangkan masa dengan beriadah kerana kajian mengatakan peredaran masa dan globalisasi akan menjadi cabaran hidup kelak," ujarnya.

Sementara itu, dalam ucapan perasmian, Rosnah menasihati masyarakat untuk mengambil masa selama 10 minit dalam seminggu bagi membersihkan kawasan kediaman daripada menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

Katanya, 10,916 kes dengan 57 kematian dilaporkan di seluruh negara bagi tempoh awal tahun hingga 6 Jun lalu.

"Justeru, kementerian merayu kepada orang ramai untuk bersama-sama dengan kerajaan menjayakan kempen perangi denggi yang kini menjadi agenda tetap kerajaan ekoran ia merupakan wabak paling bahaya," jelasnya.

No comments:

Post a Comment